Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan memulakan Keberangkatan Negara ke Republik Demokratik Rakyat Lao, hari ini, dengan berangkat ke Upacara Meletakkan Kalungan Bunga yang bertempat di Unknown Soldier Monument, Vientiane.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Mayor of Vientiane Capital, Tuan Yang Terutama Athsphangthong Siphandone. Baginda seterusnya dijunjung untuk meletakkan kalungan bunga ke tugu peringatan berkenaan.
Tugu peringatan tersebut telah dibina bagi memperingati para tentera dan rakyat yang terkorban semasa memperjuangkan kemerdekaan bagi negara tersebut.
Juga hadir ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri selaku Menteri Pengiring, Tuan Yang Terutama Saleumxay Kommasith.
Sumber berita Pelita Brunei